KHUTBAH JUMAAT ( PERINGATAN UNTUK UMAT AKHIR ZAMAN )
PENGETUA KAMSIS/IMAM PUSAT ISLAM PTSS
Friday, 23 2009
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah Sekalian,
Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru sidang Jumaat yang dikasihi sekalian, marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa iaitu melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita berbahagia di dunia dan di akhirat.
Sidang Jumaat yang berbahagia sekelian..
Bagaimanakah sebenarnya kita melihat kehidupan di dunia ini? Ini penting kerana apa yang kita lihat itulah yang akan kita dapat dan buat.Bak seseorang yang melihat politik sebagai medan untuk glamor maka glamor lah yang akan diperolehi, orang kedua melihat dan masuk politik kerana nak projek, maka projeklah yang akan dicari dan diperolehinya, ada yang masuk politik kerana memandangnya sebagai wasilah untuk berdakwah dan menegakkan kebenaran maka dia juga akan memperolehinya.
Begitulah juga bagaimana kita melihat kehidupan di dunia ini. Ada yang melihat sebagai medan menunjuk kuasa dan sangat berkuasa sehingga lupa yang dia akan mati dan kembali ke tanah yang hina.
Ada yang memandang dunia sebagai tempat bersenang lenang dan enjoy maka segala usahanya adalah untuk mencari kesenangan dan kebahagiaan yang sementara. Ada juga yang menyangka seolah dia akan hidup selamanya dan terus lalai tanpa persiapan untuk menuju kepada Allah.Justeru pandangan yang tepat dan selari dengan kehendak Allah sangat perlu untuk kita melihat tentang kehidupan di dunia ini. Bolehlah diertikan kehidupan di dunia ini sebagai kehidupan yang sangat lemah yang memerlukan saling kebergantungan antara satu sama lain dan dunia juga adalah sementara untuk mencari bekal ke alam bahagia yang kekal abadi.
Orang yang berjaya dan berkesan antara 7 cirinya yang disebut oleh steven covey ialah mula dengan mengingat matlamat akhir di minda dan ianya juga disebut di dalam Islam.Apabila direnungi maka kita akan mendapat jawapan seperti berikut:-
1) Mati
2) Dibangkitkan semula ( kiamat )
3) Dihitung amalan ( akhirat )
Siapakah diantara kita yang tidak akan mati di dunia ini? Seorang doctor yang di bahagian kecemasan untuk menyelamatkan nyawa seseorang pun pasti akan mati.”Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati”.Begitu juga selepas kematian akan dihimpunkan semua manusia yang dinulainya dengan kedahsyatan hari kiamat yang mana langit akan pecah,planet-planet dan bintang-bintang akan berlanggaran dan hancur musnah,gunung gamang akan menjadi debu dan lautan akan menghamburkan api kepanasan tak kurang juga bumi yang bergoncang dahsyat dan mengeluarkan segala isinya. Kemudian akhirnya kita dihimpun dalam keadaan matahari yang hanya sejengkal di atas kepala untuk dihisab samada ke syurga dengan banyaknya amal pahala atau ke neraka dengan banyaknya perbuatan dosa.Mahu tidak mahu,setuju atau tidak inilah yang bakal berlaku kepada setiap seorang daripada kita selaku seorang yang beriman kepada hari kiamat yang merupakan salah satu rukun iman yang enam.Oleh itu sidang Jumaat rahimakumullah.
Orang yang bijak dan berjaya sentiasa membuat perancangan selari dengan matlamat akhir kehidupannya untuk terus hidup berjaya dengan kejayaan yang hakiki di bawah paksi surah az-Zariat ayat 56
“ Tidak aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri dan menyambahKu”
Apabila kita mencongak mudah ke manakah umur kita di dunia ini dihabiskan jika kita diberikan umur 65 tahun, itupun jika sampai.Kita tolakkan dahulu dengan 15 tahun umur yang maksimum biasanya seorang itu akil baligh yang mula dikira amalan baik buruknya ditanggung olehnya sendiri.Maka kira-tinggallah umurnya 50 tahun.50 tahun yang berbaki digunakan untuk apa?Adalah seperti seperti berikut:-
Jika satu hari kita tidur purata 8 jam sehari semalam maka 50 tahun yang berbaki ini akan dihabiskan selama 17 tahun untuk tidur.Itu tidak masuk tidur ketika khutbah,ketika kerja,depan computer dan sebagainya mungkin tahun untuk tidur boleh menjadi lebih.
Purata satu hari bekerja siang hari seperti mencari nafkah,belajar dan seumpamanya adalah 12 jam. Maka dia akan menghabiskan umurnya yang 50 berbaki tadi selama 25 tahun untuk aktiviti siang hari
Satu hari berehat minum-minum, makan, berkhayal, melepak adalah puratanya 4 jam. Maka kita akan menghabiskan 8 tahun untuk berehat, sedangkan kita akan berehat lama di alam sana. Dijumlahkan 17 tidur + 25 tahun kerja + 8 tahun berehat = habislah umur 50 tahun yang diperuntukkan kepada kita. Lalu bila masa pula kita akan beribadah khusus kepada Allah?
Katalah satu solat wajib akan dihabiskan selama 10 minit maka 5 waktu akan Berjaya dihabiskan selama 50 minit untuk solat,katalah ianya dibundarkan kepada sejam sehari.Kalau sejam sehari pun digunakan untuk solat kita baru menghabiskan selama 50 tahun umur berbaki ini hanya 2 tahun untuk solat.Itupun kalau satu solatnya 10 minit,dan biasanya professional hanya akan menghabiskan 1 minit setengah untuk solat manakala amatur hanya 3 minit setengah.2 tahun untuk solat dalam pada 17 tahun untuk tidur,25 tahun kerja siang hari dan 8 tahun berehat untuk membeli syurga Allah yang mahal harganya?!
Tetapi orang yang merancang untuk cemerlang di dunia dan akhirat tidak perlu risau kerana dia tahu seluruh hidup dan aktivitinya adalah ibadah walaupun tidur selama 17 tahun asalkan diniatkan kerana Allah dan dalam pada perbuatan yang dilakukan beserta niat kepada Allah itu tidak pula dia melanggar larangan Allah dan menbuat segala kewajipan yang difardhukan ke atasnya.
Sidang Jumaat yang bakal menemui Allah sekelian,
Baru-baru ini dan sehingga kini pun kita masih digemparkan dengan bala yang menimpa manusia di sana sini seperti Tsunami dan taufan di Samoa,Kongo di Negara kepulauan Pasifik,Taufan Ketsana yang melanda Negara-negara Asia seperti Vietnam,Filipina,Kemboja,Laos,dan gempa bumi di Indonesia yang mengorbankanbanyak nyawa dan harta benda.Ia merupakan peringatan kecil tentang kedahsyatan hari kiamat yang lebih hebat daripada segala bencana itu.
Bayangkan gambaran yang Allah menceritakan dalam surah Al-Zalzalah tentang perihal huru-hara kiamat ini seperti:-
1. apabila bumi digegarkan Dengan gegaran Yang sedahsyat-dahsyatnya,
2. serta bumi itu mengeluarkan Segala isinya,
3. dan berkatalah manusia (dengan perasaan gerun); "Apa Yang sudah terjadi kepada bumi?"
1. hari Yang menggemparkan,
2. apa Dia hari Yang menggemparkan itu?
3. dan apa jalannya Engkau dapat mengetahui kedahsyatan hari Yang menggemparkan itu?
4. (hari itu ialah: hari kiamat), hari manusia menjadi seperti kelkatu Yang terbang berkeliaran,
5. dan gunung-ganang menjadi seperti bulu Yang dibusar berterbangan.
1. apabila berlaku hari kiamat itu,
2. tiada sesiapapun Yang dapat mendustakan kejadiannya.
3. kejadian hari kiamat itu merendahkan (golongan Yang ingkar), dan meninggikan (golongan Yang taat).
4. (ia berlaku) semasa bumi bergoncang Dengan sebebar-benar goncangan.
5. dan gunung-ganang dihancur leburkan Dengan selebur-leburnya,
6. lalu menjadilah ia debu Yang bertebaran,
1. apabila langit terbelah;
2. dan apabila bintang-bintang gugur bertaburan;
3. dan apabila lautan pecah bercampur-baur;
4. dan apabila kubur-kubur dibongkarkan, -
5. (setelah semuanya itu berlaku), tiap-tiap orang akan mengetahui apa Yang telah dikerjakan dan ditinggalkannya.
Bayangkan sahaja bagaimana kalau sebuah pinggan yang dicampakkan diatas lantai yang keras lalu berderai dengan satu bunyi yang menggemparkan orang ramai.Tatapi pada hari kiamat buka sahaja pinggan yang pecah tetapi lebih besar daripada itu iaitu makhluk Allah yang paling besar namanya langit juga akan pecah bayangkan bagaimanakah bunyinya yang sangat-sanagat mengemparkan dan mematikan nyawa.
Ketahuilah sekalian jamaah rahimakumullah bahawasanya bala kecil yang berlaku ini boleh dikategorikan kepada 3 kategori:-
1) Merupakan ujian kepada hambanya yang soleh
1. Alif, Laam, Miim.
2. Patutkah manusia menyangka Bahawa mereka akan dibiarkan Dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?
3. dan Demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang Yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian Yang demikian), nyata apa Yang diketahui Allah tentang orang-orang Yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa Yang diketahuiNya tentang orang-orang Yang berdusta.
1) Merupakan kifarah dosa bagi hambanya yang adakalanya ingat dan adakalanya lupa
2) Merupakan bala’ hakiki kepada yang ingkar jahat sebagai pengajaran kepada orang yang selepasnya untuk diambil iktibar.
Sidang Jumaat yang dimuliakan sekelian
Kesemua bala yang berlaku ini adalah hasil daripada tangan manusia sendiri yang rakus dengan kehidupan dunia yang sementara ini.Ia disebut oleh Allah dalam surah al-Rum ayat 41
"telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut Dengan sebab apa Yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya Yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk Yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)."
Justeru hadirin yang berbahagia marilah sama-sama kita kembali kepada tugas asal kita untuk menjalankan amar makruf dan nahi mungkar pada semua peringkat agar bala yang seumpama ini tidak mengundang kita lagi.Ini pernah ditanya kepada nabi S.A.W oleh sahabat-sahabatnya “ Adakah kami akan binasa di bala sedangkan pada kami ramai orang-orang yang soleh?” Nabi menjawabnya dengan tenang dan yakin “ Ya.Jika banyak berlaku kejahatan.” Ketika itu walaupun ramai yang bengkak dahi kerana kuat solat dan qiamullailnya,walupun banyak orang yang puasa sunat,bersedekah,haji dan seumpamanya dalam masa yang sama tidak mempedulikan samada jiran saudaranya murtad atau berzina,mengambil rasuah atau berbunuhan,mengambil riba dan berbuat zalim,yang penting baginya “aku tak kacau orang sudah.. lantak la apa nak jadi pada mereka,yang penting aku tak tinggal solat ke masjid,aku puasa dan bayar zakat dan insyaAllah akan ke syurga”. adalah pandangan yang sangat salah dan bertentangan dengan hadis nabi tadi.
Individu mengamalkan apa yang Allah suruh dan menjauhkan larangan Allah,keluarga pula menjaga amanah Allah yang dikurniakan dan mencurahkan kasih sayang kepada mereka iaitu isteri dan anak-anak agar tidak dihumbankan ke neraka Allah.Masyarakat pula bahu membahu membuat program yang bermanfaat kepada umum dan menguatkuasakan nahi mungkar sesama tetangga yang dianggap saudara sendiri,negara pula menjaga keselamatan dan keamanan sosial rakyat juga berkebajikan dalam pendidikan,kesihatan dan bantuan kepada yang memerlukan disamping memberi keadilan politik,ekonomi dan sosial kepada masyarakat menurut yang Allah kehendaki.Begitu juga masyarakat tegur menegur sesama pemimpin untuk terus menerus berada dalam keredhaan Allah dan jika sekiranya ini tidak berlaku tunggulah janji Allah yang mungkinlebih pedih daripada apa yang berlaku sekarang ini.
"dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) Yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang Yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). dan ketahuilah Bahawa Allah Maha berat azab seksaNya"
No comments:
Post a Comment